Friday 10 April 2015

Ini mungkin perkara yang paling sampah kau pernah baca.

Kereta usang ini menyusur lebuhraya. Membuatkan jejaknya hilang di dinding dinding langit. Pekikan anjing jalanan menyalak melewati telinga. Di tengah tengah titik hitam carekawala bingit. Antara bandar besar bandar kecil yang terciptanya dari kabus. Dan bunyian unggas serta cahaya kunang kunang yang semakin mati dibara rokok ni. Cukup untuk merindukan matahari; yang kamu selalu canang canangkan kedatangannya. Atau dipondok kayu, yang punya lubang lubang kecil untuk cahayanya sampai ke lantai milik sang anai. Kita pula sentiasa asyik berbicara onar terhadap matahari yang cantik; bulan penuh yang bersifat seiring dan bintang bintang yang dipaparkan ke dunia. Seperti segalanya memberi petunjuk untuk terus berjalan . Jalan keluar tidak ujud untuk kamu, aku, kita semua. Perjalanan menuju ke selatan adalah satudua. Ke utara adalah satulima. Ke timur adalah satutiga. Ke barat adalah duapuluhdua. Semua jalan terbuka untuk langkah langkah kita. Satu detik pun ia tidak pernah tertutup. Yang tertutup, terkatup, terlangkup, terlancut, termangut itu cuma hati manusia. Kerana kita tidak pernah berkira kira untuk mengenal usia. Dan untuk itu, perbincangan tentangnya tidak akan pernah habis; walaupun dengan bantuan pendeta pendeta asing dalam diri kita. Dan cerita cerita dongeng yang mengajar untuk "buatlah apa yang kamu suka" dan "jangan melukai hati sesiapa".
Aku percaya dongeng. Aku belajar dari dongeng. Aku hidup dalam dongeng. Aku sendiri adalah dongeng bagi kau, atau dia. Ada satu dongeng yang enak untuk kita. Wujud seekor kurakura tua. Cengkerangnya diciptakan dari permata sejak dari awal dan ia tahu tentang; dunia dan semua sejarahnya, galaksi dan semua misterinya. Satu hari, datang seorang lelaki. Kedua mereka berbicara. Kurakura mahu berkongsi dengannya tentang masa depan dan bagaimana sesungguhnya alam berjalan. Oh, lelaki itu bunuh kurakura tadi, ambil cengkerangnya, dan dengan sebuah lagu dimulutnya dia beredar pergi, sekali lagi.
Tiada yang kamu boleh buat kerana lelaki itu sedang melakukan apa yang dia suka. Dan melukai itu kadang kadang jatuh ke tangga kedua. Oh, bertuahnya kita sebab kita boleh saja untuk lupakan sesuatu perkara. Oh betapa waktu waktu indah sedang menghukumku. Dia kata kau takboleh buat semuaorang happy.  Aku kata kau boleh paling tidak untuk happykan diri kau. Aku taktahu aku siapa, tapi aku tahu siapa aku pernah jadi. Kemana aku patut pergi dan kau cuma berharap untuk aku tetap pegun atau tetap terus pegun lebih kuat dan hilang. Aku teruskan sehingga ke esok hari. Ke bandar yang baru dan jalan jalan yang lain. Pergi ke beranda untuk sebuah pemikiran. Pergi ke pintu semula dan aku takpernah berhenti sejak itu. Kau taktahu dimana dan kau taktahu bila. Tapi, jangan risau. Kau masih punya katakata dan beberapa orang kawan. Berjalanlah ke hari esok. Kerja lebih keras. Lakukan ia dengan pelbagai cara. Siang semakin singkat, malam semakin dingin. Aku sukakan musim ini tapi tempat ini sudah terlalu tua. Aku bersiap siap dan menuju ke arah selatan. Ia mungkin tak jauh tapi bagi aku seperti inilah yang terjauh. Siang menjadi lebih panjang sedikit dan malam berbaur kehijauan. Aku tak terkejut kerana aku tahu musim luruh akan tiba. Dan aku harus beredar. Mulakan hidup baru. Walaupun itu bukan apa yang kehidupan minta. Tapi suara hati ni lebih kuat sehingga tak dengar lagi bisik bisik mulut. Ini bukan mimpi indah lagi. Beginikah ia sepatutnya berakhir atau yang seharusnya terjadi? Kehidupan orang lain nampak lebih menarik dan innocent sebab itu bukan kehidupan aku. Apa yang kau akan buat untuk kehidupan? Teruskan seperti biasa dan lulus kolej? Nothing's ever new in your life. Sekiranya kehidupan takkan cantik tanpa kesakitan, maka aku akan lebih suka untuk tak akan lihat cantik tu macammana. Sekali lagi. Aku tidak langsung menulis dengan bulir bulir airmata. Sebab si penulis sentiasa boleh untuk edit bahgian bahgian yang sedih sehingga semua orang ingat si penulis sedang sangat ceria. Satu rahsia, Si penulis tidak pernah gembira...

Mungkin tulisan ini akan tamat. Cerita cerita gembira akan tamat. Dongeng orang dulu dulu akan tamat. Tapi, percayalah pada satu perkara. Perjalanan ini(aku) tak akan pernah tamat. Semoga aku tak terlambat untuk mengucap selamat tinggal sebelum ke lahad.

No comments:

Post a Comment